Home » , , , » Benarkah Hubungan Johan As'ari Dan Shila Amzah Sekadar Teman Biasa??

Benarkah Hubungan Johan As'ari Dan Shila Amzah Sekadar Teman Biasa??

Shila dan Johan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan biasa sahaja.



SUBANG JAYA: Pelakon Johan As'ari menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan penyanyi yang sedang mencipta nama di Shanghai, China iaitu Shila Amzah seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As’ari, 27, berkata, kemesraan itu hanya sekadar teman biasa tambahan pula ibu-bapa mereka saling mengenali di antara satu sama lain.

"Tiada apa yang istimewa di antara kami kerana saya dan Shila hanya sekadar teman biasa dan tidak lebih daripada itu.

"Saya ada bertemu dengannya di beberapa buah majlis selain saya bertandang ke rumahnya untuk beraya dan dia pula membalas lawatan itu ke rumah saya dan ditemani oleh ibu kami.

"Keluarga kami saling mengenali antara satu sama lain sudah lama dan sering berjumpa tanpa kehadiran kami," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka WireFame Entertainment Sdn Bhd di sini pada malam Ahad.

Tambah Johan, berita itu mendapat perhatian disebabkan mereka tidak mempunyai sebarang komitmen dalam perhubungan selain status sebagai artis menyebabkan ramai membuat spekulasi.

Tentang perkhabaran dia bakal bertunang dengan seorang petugas stesen televisyen pada penghujung tahun ini, Johan berkata, ia cuma perancangannya dan hubungan dengan wanita dimaksudkan sekadar teman biasa.



Shila dan Johan bergambar kenang-kenangan bersama ibu masing-masing yang juga rapat sebagai kawan.

Jelas Johan, dia masih solo dan tidak mempunyai kekasih namun masih berharap dapat merealisasikan hasrat untuk bertunang.

"Saya memang merancang untuk bertunang pada akhir tahun ini tetapi siapakah wanita tersebut saya sendiri belum tahu. Ia cuma perancangan dan saya berharap ia akan terlaksana," katanya.

Johan menambah, isu kononnya Shila menjadi perampas dalam hubungannya dengan wanita berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan berharap soal itu tidak dibangkitkan lagi.

"Saya faham orang cuba menyalahkan Shila dengan mengatakan dia perampas hanya kerana kami rapat sebagai kawan tetapi isu itu tidak timbul kerana saya dan wanita berkenaan juga hanya rakan biasa.

"Kenyataan saya ingin bertunang hujung tahun ini bukan bermakna saya akan bertunang dengan wanita berkenaan kerana saya sendiri belum tahu siapa jodoh saya," katanya.

Sementara itu, Shila yang turut ditemui pada majlis sama turut senada dengan Johan dan menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan biasa.

Jelas Shila, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan soal cinta kerana ingin menumpukan perhatian penuh kepada kerjayanya yang sedang berkembang di China.

"Seperti mana saya pernah beritahu sebelum ini, saya serahkan jodoh kepada Allah. Jika jodoh saya sudah sampai dan orang itu pula masuk meminang saya terima.

"Tetapi biarlah orang yang merisik itu di kalangan orang yang saya kenali dan direstui oleh ibu bapa saya," katanya.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

0 komentar:

Posting Komentar

Diberdayakan oleh Blogger.