PUTRAJAYA: Isteri kepada penyanyi Datuk Hattan iaitu Datin Arianie Abidin terbuka hati untuk menerima kembali suaminya itu selepas bercerai pada 2005 kerana tersentuh dengan kesungguhan lelaki itu menambat kembali hatinya sejak sembilan tahun lalu.
Arianie, 42, berkata, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali sebagai suami isteri namun dia menganggap ia sebagai ketentuan Allah selain perpisahan itu banyak mengajar mereka tentang erti kehidupan.
"Kesungguhannya untuk memikat hati saya sejak sembilan tahun lalu akhirnya menyentuh hati saya walaupun saya mengambil masa yang lama untuk menerimanya semula.
"Bak kata pepatah kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana dan saya berharap ia akan berkekalan sehingga akhir hayat kami," katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya di sini, Rabu.
Hattan dan Arianie sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri kira-kira 200 tetamu.
Pasangan mempelai mengucup anak lelaki tunggal mereka iaitu Adam Eiman.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dan Arianie dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Abdul Halim Mat Isa pada pukul 6 petang.
Ia adalah perkahwinan ketiga buat Hattan dan kali kedua dengan Arianie.
Pasangan itu pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.
Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.
Antara rakan artis yang turut hadir meraikan majlis pernikahan Hattan dan Arianie.
Dalam perkembangan sama, Hattan berkata, beliau bersyukur kerana doanya untuk bersatu dengan Arianie akhirnya termakbul.
Jelas Hattan, mereka memilih untuk disatukan pada bulan Ramadan kerana mahu mengambil keberkatan bulan mulia umat Islam itu.
"Sukar saya nak gambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya kerana doa saya selama bertahun-tahun akhirnya termakbul.
"Sampai saya tersasul semasa akad nikah kerana berasa sebak dan gembira pada masa sama," katanya.
Dalam perkembangan sama, anak tunggal pasangan itu melahirkan rasa gembira dengan penyatuan kedua ibu bapanya.
Hattan mengucup dahi isterinya semasa upacara membatalkan air sembahyang.
Adam berkata, walaupun sudah terbiasa tinggal berasingan dengan mereka dia bagaimanapun tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru dalam sebuah keluarga.
"Saya sebenarnya tidak tahu ibu dan ayah akan berkahwin semula. Dapat tahu pun menerusi laporan akhbar dan apabila mereka bawa saya untuk membeli cincin kahwin.
"Saya bersyukur dengan penyatuan mereka dan berharap akan mendapat seorang adik selepas ini," katanya.
Sementara itu, Hattan dan Arianie tidak merancang untuk mendapatkan cahaya mata buat masa ini namun tidak menolak sekiranya dikurniakan Allah.
Pasangan itu juga memberitahu akan membawa anak mereka bercuti ke London hujung tahun ini selain tidak sabar untuk berhari raya sebagai keluarga.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
0 komentar:
Posting Komentar