Raja Azmi selamat melangsungkan pertunangan dengan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, di kediaman Raja Azmi di Ukay Perdana, semalam.
AMPANG: Produser filem Raja Azmi mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila kontroversi kisah kehidupannya sering menjadi berita utama media.
Malah Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, berkata, dia suka kisahnya didedah kerana ia dapat memberi pengajaran buat masyarakat terutamanya golongan wanita.
"Mungkin ada selebriti yang tidak suka hal peribadi menjadi kontroversi tetapi saya pula suka apabila kisah kehidupan saya didedahkan umum.
"Jadi, masyarakat boleh menilai dan menjadikan kisah saya sebagai pengajaran sendiri. Yang baik jadi teladan, yang buruk jangan diikutkan," katanya.
Raja Azmi mahu kisah kehidupannya menjadi pengajaran buat semua orang terutamanya golongan wanita.
Raja Azmi ditemui selepas majlis pertunangannya dengan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, di kediaman wanita itu di Ukay Perdana, di sini pada Isnin.
Tambah Raja Azmi, dia juga berharap, hebahan majlis pertunangannya dapat memberi keyakinan buat golongan wanita seusianya agar tidak rasa bersalah atau malu untuk berkahwin lagi.
Dalam pada itu, Raja Azmi juga turut sudah bersedia sekiranya pertunangannya itu dijadikan bahan lawan masyarakat yang dianggap tidak sesuai untuk bertunang pada usia sepertinya.
"Saya tak kisahlah apa orang nak kata sama ada saya perempuan miang atau apa. Tetapi saya lakukan semua ini atas permintaan anak-anak yang mahu mengikut adat Melayu sebelum berkahwin.
"Lagipun apabila sudah berstatus tunangan orang, perilaku kita mungkin akan berubah dan terserlahlah perangai masing-masing. Sekurang-kurangnya, sebelum berkahwin kita akan lebih mengenali hati budi pasangan kita.
“Setakat ini saya sudah bersedia untuk melalui apa-apa sahaja rintangan. Moga ia dipermudahkan," ujarnya.
Eddie sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.
Hasil perkahwinan pertama selain Daniel, Eddie memiliki seorang lagi anak bernama Mohd Effy,19.
Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek. Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.
Sementara itu, Eddie pula berkata, selepas lima tahun menduda, dia gembira akhirnya menemui wanita seperti Raja Azmi yang mempunyai sifat keibuan dan pada masa sama seorang yang 'gila-gila'.
"Bagi saya, kehadirannya dalam hidup saya adalah satu keajaiban. Sifat peribadi kami memang sangat berbeza di mana dia seorang yang ceria dan peramah manakala saya pula lebih pendiam. Mungkin perbezaan itu membuatkan kami saling memerlukan," tuturnya.
Pasangan tersebut merancang akan bernikah pada 15 September depan.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0 komentar:
Posting Komentar