NATASHA HUDSON dan Sharifah Sofia teruja menyambut Ramadan pada tahun ini.
SESI fotografi bersama dua figura jelita, Natasha Hudson dan Sharifah Sofia pada dini hari Jumaat minggu lalu meluncur laju. Rumah yang dijadikan butik pemilik jenama Azura Azwa di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, menyatukan dua nama hebat itu untuk mengupas perihal puasa dan persiapan menjelang Ramadan.
Jelik dan klise andai isu berhijrah diketengahkan setiap kali seseorang artis atau selebriti menukar imej dan prinsip itu dipegang kedua-dua wanita cekal itu.
Bagi empunya nama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson, 30, penghijrahannya sebagai langkah mendekatkan diri dengan Maha Pencipta dalam masa yang sama membuka ruang, peluang dan rezeki terutama dalam kariernya.
"Alhamdulillah, sekarang saya kembali aktif dalam dunia peragaan selain bidang lakonan. Tawaran untuk saya menjadi model bertambah dan syukur ini rezeki daripada Allah. Apabila diri saya berubah, maka keseluruhan karier saya juga berubah.
"Berlakon adalah jiwa saya dan buat masa sekarang, bidang lakonan agak mencabar bagi saya kerana saya harus selektif berhubung karakter.
"Saya menilai ibadah itu satu perkara yang serius dan untuk bidang lakonan saya perlu kekalkan kedudukan saya sekarang. Rindu juga untuk melakonkan watak yang pelbagai tapi pasti akan ada solusi yang padan dengan karakter dan situasi saya sekarang," bicaranya memulakan diskusi.
Keluarga besar
Wanita yang mesra disapa Tasha itu kini sedang sibuk merencanakan agenda kerjaya dan keluarga selaku seorang ibu kepada Neesa Helena, 4, dan isteri kepada penyanyi hip hop, Carleed Khaza.
Tasha menegaskan dia ingin lebih fokus dan komited terhadap kariernya, namun pada masa yang sama dia enggan menyisihkan perhatian terhadap suri hatinya, Neesa yang kini sudah memasuki sekolah tadika.
"Saya akan pastikan Neesa mendapat cukup perhatian daripada saya, selepas balik sekolah saya akan mengulangkaji pelajarannya bersama-sama.
"Selain itu, saya akan menghantar dia mengaji al-Quran, muqaddam dan iqra' serta saya sendiri mengikuti kelas agama yang diadakan setiap hari Khamis di rumah mertua," jelasnya yang kini lebih mengawal imejnya.
Riak ceria jelas terpancar pada wajah Natasha ketika ditanya mengenai rutin puasanya yang bakal kembali berubah tahun ini.
Kebiasaan acara berbuka puasa hanya disertai oleh ibu dan adiknya, Tania Hudson kini berkembang mekar bersama keluarga sebelah suaminya yang disifatkannya lebih meriah!
"Ini kembali menjadi tahun pertama saya menjalani ibadah puasa bersama bilangan ahli keluarga yang lengkap. Insya-Allah, tahun ini akan lebih ceria kerana kedua-dua belah bilangan ahli keluarga saya dan suami agak besar.
"Saya tidak sabar untuk berpuasa dan jika sebut saja urusan keluarga atau persiapan berbuka puasa, detik itu yang paling saya nantikan," katanya yang menggemari martabak, air bandung dan air kelapa untuk juadah berbuka.
Pelakon filem Chermin itu bagaimnanapun memilih hidangan ringkas untuk bersahur. Antara yang menjadi kegemarannya termasuklah nasi putih, timun, kicap dan telur.
Lengkap lima tiang
Berbeza sekali pertemuan bersama pemilik nama sebenar Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, berbanding pertemuan sebelum ini. Ringkas berselendang sambil menggendong permata hatinya, Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini memasuki usia setahun setengah.
Ujarnya: "Maaf, saya seorang yang ringkas dan tidak pandai melaram. Selendang pun tidak cantik."
Menukar citranya ke arah melengkapi tuntutan syarak, Sharifah Sofia atau lebih dikenali dengan panggilan Sofia enggan menggembar-gemburkan penghijrahannya. Lebih selesa menyimpan cerita hijrah itu dan memendam peruk di lubuk hati.
|
"Saya memikirkan diri saya dan ini cara saya, biar saya tahu pasal orang lain tapi saya tak nak orang tahu pasal saya. Biar saya sendiri yang simpan untuk diri saya.
"Sekarang saya lebih mendalami ilmu agama, apabila tidak memakai tudung tidak bermakna saya tidak mendalami agama cuma sekarang pengetahuan itu lebih mendalam.
"Sudah sampai masa untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri saya. Kalau dahulu saya ada empat tiang kini saya sudah mencukupi lima tiang," ucapnya berkias.
Tegasnya, walau apapun tanggapan orang ramai terhadap dirinya yang sebelum dan sekarang, dia tidak ambil pusing kerana industri seni akan sentiasa berdepan kritikan.
Menjadi ibu sepenuh masa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada Ariana bukan dianggap percaturan atau mengundur diri daripada dunia seni.
"Prioriti sekarang untuk menjadi ibu sepenuh masa dan menjaga sendiri anak saya. Saya menolak kebanyakan tawaran kerana saya tidak sanggup menyusahkan pihak lain kerana saya perlu membawa Ariana bersama saya sepanjang masa. Tambahan, dia masih menyusu badan.
"Saya sangat rindu untuk kembali bekerja tapi saya sanggup korbankannya demi anak saya. Lagipun, saya mula kurangkan berlakon sejak dua tahun lalu. Buat masa sekarang saya ada plan sokongan," jelas anak kelahiran Liverpool, England itu.
Kembali berpuasa
Jangan salah sangka jika Sofia menyatakan dia akan kembali berpuasa pada tahun ini! Kerana tahun lepas dan dua tahun lalu dia 'terpaksa' meninggalkan ibadah wajib itu atas faktor tertentu.
"Dua tahun lalu saya sedang mengandung, jadi saya tidak sempat berpuasa dan tahun lepas pula saya menyusukan Ariana. Tahun ini jika tiada keuzuran saya akan kembali berpuasa.
"Pasti sekali saya teruja sempena kedatangan bulan yang penuh berkat, cuma kali ini saya melaksanakannya dengan keyakinan sebagai seorang Sharifah Sofia dalam kehidupan baharu.
"Insya-Allah, saya juga mahu melengkapi solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini," ujarnya.
Ditanya tentang juadah kegemaran sepanjang bulan puasa, Sofia menjawab tiada makanan istimewa asalkan mengikut seleranya dan suami.
Begitu juga hidangan bersahur. Adakalanya kata Sofia dia akan memanaskan kembali lauk-pauk yang dibeli atau dimasak untuk berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran.
Kredit: Sumber
0 komentar:
Posting Komentar